Pulau Pinang dan Sabah sama handal, sajikan aksi penuh dramatik
Rodoljub Paunovic cuba melepasi kawalan pemain Pulau Pinang.
Kredit foto: Malaysia Football League
Sabah berjaya membawa pulang satu mata dari Pulau Pinang selepas mengikat pasukan yang digelar Harimau Kumbang itu tanpa sebarang jaringan, sebentar tadi. Perlawanan penuh dramatik tadi menyaksikan tujuh kad kuning telah dilayangkan pengadil, di mana lima daripadanya adalah terhadap pemain-pemain Sabah.
Pasukan Pulau Pinang yang dibimbing bekas pemain kebangsaan ,Manzor Azwira dilihat lebih garang sejak wisel permainan dibunyikan. Tuan rumah tidak menunggu lama untuk melakukan percubaan apabila pemain importnya Julian Bottaro mencemaskan pertahanan Sabah selepas 15 saat perlawanan. Namun, percubaannya agak tinggi melepasi palang.
Pada minit ke-4, Pulau Pinang sekali lagi mencemaskan gawang Sabah apabila salah seorang pemainnya membuat percubaan dari sudut sukar, namun bola terkena palang gol. Julian Bottaro pula membuat rembatan lencong pada minit ke-11. Mujur bola tersebut tidak tepat ke arah pintu gol Sabah.
Pasukan Sabah mempunyai peluang terbaik melakukan jaringan menerusi Ahmet Atayev pada minit ke-17. Namun, rembatannya sedikit tinggi melepasi palang gol walaupun beliau dilihat mempunyai ruang selesa untuk melakukan sesuatu yang lebih baik.
Pemain import Pulau Pinang yang baru dibawa masuk, Casagrande berjaya membuat satu percubaan akrobatik untuk menembusi gawang Sabah. Walau bagaimanapun, pengadil terlebih dahulu mendakwa beliau mengasari pertahanan pelawat.
Pada separuh masa kedua, Sabah mengatur lebih banyak serangan. Pada minit ke-46, percubaan Rodoljub Paunovic atau Roki agak lemah dan mudah diselamatkan penjaga gol, Mohd Zamir Selamat. Park Taesu berjaya melakukan jaringan selepas menerima hantaran sepakan percuma Azzizan Nordin. Jaringan tersebut tidak dikira kerana Park dikesan berada pada kedudukan offside.
Kapten Pulau Pinang, Kang Seung-Joo yang merupakan pakar sepakan percuma hampir memecah kembuntuan pada minit ke-68 apabila percubaannya dari jarak 30 meter ditepis Rozaimie Rohim. Sabah pula mempunyai peluang keemasan menjaringkan gol pada minit ke-79. Namun, Aguinaldo Mendes gagal melakukan penyudah baik walaupun hanya perlu menolak masuk ke dalam gawang selepas Zamir sudah pun tertewas.
Bottaro juga memiliki percubaan menerusi tandukan selain Casagrande yang hampir-hampir mejaringkan gol kemenangan Pulau Pinang. Kedua-dua percubaan tersebut berjaya dinafikan Rozaimie. Ketika masa menghampiri penamat, Pulau Pinang mencemaskan pintu gol Sabah. Mujur Evan Wensley Wenceslaus berjaya menyelamatkan bola di atas garisan.
Dalam perlawanan ini juga turut dicemari dengan beberapa insiden pergaduhan pemain kedua-dua pasaukan akibat kekasaran. Keputusan penuh perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati tanpa sebarang jaringan.
Selepas ini. Sabah akan menerima kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Likas pada 15 Jun 2019.
Mie Ismile
TVOR12
Comments
Post a Comment