PELUANG SABAH LAKAR KEMENANGAN HATRIK DI LIKAS

Barisan kesebelasan utama Sabah FA

Liga Premier Malaysia 2019 bakal memasuki perlawanan ke-9 pada Jumaat dan Sabtu ini. Setakat ini, JDTII mengungguli carta liga dengan 15 mata, diikuti Sabah dengan 14 mata. Tangga ketiga menyaksikan UiTM FC dan Selangor United mengekori rapat dengan berkongsi 13 mata. 

Pasukan Sabah berpeluang menjarakkan kedudukan pada perlawanan ke-8 baru-baru ini apabila memimpin carta liga. Namun, Selangor United memusnahkan impian tersebut apabila berjaya menewaskan Sabah dengan keputusan 2-1, beberapa hari lalu. Mujurlah UiTM FC mengalami nasib sama apabila tewas 0-1 di tangan pasukan Terengganu FC II di laman sendiri. Keputusan tersebut juga menyelamatkan kedudukan Sabah jatuh di tempat ketiga.

Perlawanan seterusnya bakal menyaksikan pertembungan Sabah menentang UiTM FC di Stadium Likas. Bermula dari perlawanan Sabtu ini, Sabah bakal bermain tiga kali berturut-turut di laman sendiri. Kemenangan menentang UiTM FC bakal mengukuhkan lagi kedudukan Sabah dalam carta sekaligus memulakan "kemenangan hatrik" yang diimpikan Jelius Ating dan anak-anak buahnya.


Jadual perlawanan di Stadium Likas

Selepas perlawanan menentang UiTM FC, Sabah akan melayani satu lagi pasukan varsiti, iaitu UKM FC seminggu kemudian (20.4.2019). Pada perlawanan ke-11 (26-27.4.2019), Sabah sepatutnya bertandang ke Perlis. Namun, pasukan Singa Utara tersebut disingkirkan dari saingan liga akibat masalah dalaman yang serius. Oleh itu, Sabah hanya menjadi "penonton" kepada pesaing-pesaing mereka pada LP11 tersebut.

Memasuki pusingan kedua Liga Premier, Sabah seterusnya menerima kunjungan Selangor United yang berjaya menewaskan mereka Sabtu lalu. Tarikh perlawanan kedua-dua pasukan diadakan pada 2-4 Mei. Ini bermaksud, Sabah akan bermain secara hatrik di Likas bermula dengan perlawanan menentang UiTM FC sehinggalah perhitungan menentang Selangor United.

Sabah tidak harus mensia-siakan peluang mencatat kemenangan hatrik di laman sendiri. Adalah amat rugi jika Sabah tercicir mata memandangkan rekod pasukan ini yang cukup baik setiap kali beraksi di Stadium Likas. Jika Perlis tidak disingkirkan, Sabah sepatutnya bertemu Perlis di Stadium Likas pada minggu pertama bulan puasa, iaitu seminggu selepas pertemuan menentang Selangor United.

Jadual perlawanan dalam bulan Ramadan melibatkan Sabah

Perlawanan sepanjang bulan puasa pula menyaksikan Sabah tidak bermain di Stadium Likas. Sebaliknya pasukan ini bakal berkunjung ke Semenanjung Malaysia bertemu UKM FC (LP14: 17-18.5.2019) di Stadium PBKL Cheras bermula jam 10 malam. Seminggu kemudian, Sabah beraksi di Stadium Bandaraya menentang Pulau Pinang (LP15: 24-26.5.2019) juga jam 10 malam. Skuad Jelius Ating hanya akan kembali beraksi di Stadium Likas pada (14-16.6.2019), iaitu seminggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ini bermakna, Stadium Likas "berehat" selama lebih sebulan. 

Jika dilihat daripada analisis jadual ini, peluang Sabah meraih tiga mata penuh dalam perlawanan hatrik di Stadium Likas amat cerah berdasarkan prestasi cemerlang pasukan tersebut di laman sendiri. Apapun, kita doakan semoga pasukan Sabah mencapai kemenangan demi kemenangan tidak kira sama ada bermain selaku tuan rumah mahupun sebagai pasukan pelawat. Bangkit Sabahku!!


Mie Ismile
TVOR12

Comments

Popular posts from this blog

KENALI PEMAIN KITA: ROZAIMIE ROHIM

KENALI PEMAIN KITA: RAWILSON BATUIL

KENALI PEMAIN KITA: MAXSIUS MUSA