PIALA FA: KENALI PASUKAN KELANTAN UNITED FC
KELANTAN UNITED FC. Itulah pasukan yang bakal ditentang pasukan Sabah dalam pusingan kedua Shopee Piala FA, Rabu ini. Ramai yang keliru mengenai pasukan tersebut. Ada yang mengatakan bahawa pasukan tersebut merupakan "The Red Warrior" yang beraksi dalam Liga Premier. Namun, andaian itu sebenarnya silap. Mari kita kenali Kelantan United FC lebih dekat.
Pasukan ini ditubuhkan pada tahun 2016 dan dikenali sebagai pasukan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (MPKB-BRI Ubes). Sebagai info, pasukan ini memegang rekod nama pasukan kedua terpanjang di dunia selepas CPD Llanfairpwll FCC atau nama panjangnya Clwb Pel Droed Llanfairpwllgwyngyllgogerychwyrndrobwllllantysiliogogogoch Football Club. (Sumber:http://www.stadiumastro.com/sports/blog/details/this-malaysian-club-have-one-of-the-world-s-longest-football-team-names/1126)
Sejak ditubuhkan, MPKB-BRI Ubes FC sentiasa aktif sebagai salah satu pasukan yang mengambil bahagian dalam Liga FAM. Pada tahun 2019, pasukan ini dijenamakan semula dan dikenali sebagai Kelantan United FC (KUFC). Pasukan yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan ini merupakan salah satu pencabar utama dalam Liga M3 musim ini. Sebagai rekod, pasukan ini sudah pun mengumpul enam mata hasil dua kemenangan serta satu kekalahan daripada tiga perlawanan setakat ini dan menduduki tangga ketiga Liga M3. Terbaharu, KUFC berjaya menewaskan Protap FC dengan kemenangan 3-0 di laman sendiri dalam perlawanan liga.
Ketua jurulatih yang mengemudi pasukan ini bukan calang-calang. Beliau adalah Zahasmi Ismail; bekas pemain pertahanan Kelantan suatu ketika dahulu. Beliau merupakan jurulatih berpengalaman yang pernah membimbing pasukan Kelantan dan MOF FC sebelum ini. Pengalaman beliau sebagai jurulatih sejak 2011 ini sudah pasti dapat membantu membangunkan prestasi pasukan tersebut dari semasa ke semasa.
ADUNAN PEMAIN MUDA DAN BERPENGALAMAN
Dari sudut barisan pemain pula, adunan pemain muda dan berpengalaman sudah pasti menjadikan KUFC sebagai salah satu pasukan yang "segar" dan "bertenaga". Antara pemain berpengalaman dalam pasukan ini ialah bekas penjaga gol Kelantan FA, Mohd Syarizan Ismail yang turut bertindak sebagai ketua pasukan. Selain itu, KUFC turut memiliki dua pemain yang pernah dipinjamkan kepada pasukan Sabah pada 2015 iaitu Mohamad Rozaimi Azwar Mat Noor (Tengah) dan Faizol Nazlin Sayuti (Pertahanan). Kedua-dua pemain ini disenaraikan dalam kesebelasan utama dan pastinya mengetahui serba sedikit corak permainan sebahagian besar bekas rakan sepasukan di Sabah.
Pemain berpengalaman lain adalah seperti Famirul Asraf Sayuti (Penyerang), Ahmad Nazri Muhammad (Pertahanan), dan Shamsul Kamal Mohamad (Pertahanan). KUFC turut memiliki dua orang pemain import. Mereka adalah Elano Carlos Zozimar dari Madagascar selaku penyerang dan Seydou Sako dari Guinea yang bermain di posisi pertahanan. Walau bagaimanapun, Sako kemungkinan tidak dapat diturunkan dalam aksi menentang Sabah pada Rabu ini disebabkan kecederaan bahu yang dialami dan terpaksa direhatkan selama tiga minggu.
Bagi aksi pusingan kedua yang akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada Rabu ini, Sabah harus berhati-hati dengan corak permainan yang bakal ditampilkan pasukan tersebut walaupun mereka dilabel sebagai pasukan underdog. Jelius Ating tidak harus menurunkan "pemain kedua" kerana tidak mustahil KUFC akan membuat kejutan dalam perlawanan tersebut. Walau bagaimanapun, dengan pengalaman yang dimiliki skuad Negeri di Bawah Bayu ini pasti akan menghasilkan sesuatu yang positif di Kota Bharu nanti. Doakan yang terbaik untuk pasukan Sabah. Semoga kemenangan milik kita. Buat Kelantan United FC, good luck!
-Mie Ismile-
TVOR12
Comments
Post a Comment