KENALI PEMAIN KITA: ROZAIMIE ROHIM


Kredit foto: Sabah Football Association


BIODATA PEMAIN
Nama: Rozaimie Rohim
Panggilan: Roy
Posisi: Penjaga gol
Umur: 34 Tahun (6 November 1984)
Asal: Temerloh, Pahang
Nombor Jersi: 30

Rozaimie Rohim merupakan penjaga gol utama pasukan Sabah. Beliau yang lebih mesra disapa sebagai Roy dalam kalangan rakan sepasukan serta penyokong-penyokong pasukan Sabah mula menyertai Sabah pada tahun 2016. Ketika itu pasukan Sabah dibimbing oleh jurulatih berasal dari Croatia, iaitu Vjeran Simunic.

Persembahan cemerlang Roy pada setiap perlawanan menyebabkan beliau masih bertahan dalam pasukan sehingga musim ini. Acapkali beliau melakukan "save" penting bagi membolehkan Sabah meraih mata berharga. Beberapa aksi ketika "menafikan" sepakan penalti lawan cukup memukau penyokong-penyokong pasukan. Beliau memiliki karakter seorang penjaga gol yang tegas dan vokal dengan memberi arahan-arahan kepada rakan sepasukan ketika di dalam padang. Khidmat penjaga gol ini sudah tentu amat ditagih sekali lagi sebagai benteng akhir bagi memastikan gawang Sabah tidak mudah dibolosi.

KONTROVERSI 2017

Roy pernah terpalit dengan kontroversi pada 2017 ketika Sabah bertemu dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Likas dalam aksi Liga Perdana. Beberapa kesilapan yang dilakukan  semasa perlawanan tersebut menyebabkan penyokong Sabah tidak berpuas hati sehingga "menyerang" beliau di laman sosial dan mengaitkannya dengan rasuah. Namun, Roy telah menafikan semua itu dan ia hanyalah satu kesilapan individu di atas padang. Disebabkan kontroversi tersebut, beliau direhatkan seketika dalam beberapa perlawanan. Kecederaan serius yang dialami oleh Robson Rendy Rining; penjaga gol yang menggantikan tempat beliau, membolehkan Roy dimasukkan semula sebagai penjaga gol utama. Keikhlasan beliau membantu pasukan Sabah untuk setiap perlawanan nyata menaikkan semula nama Roy dengan aksi-aksi terbaik beliau yang cukup meyakinkan.

Kini, Roy dianggap sebagai antara benteng akhir terbaik yang pernah pasukan Sabah miliki. Semoga beliau akan beraksi dengan lebih cemerlang pada musim ini. SELAMAT MAJU JAYA ROY!

-The Voice of Rhinos #12-

Comments

Popular posts from this blog

KENALI PEMAIN KITA: RAWILSON BATUIL

KENALI PEMAIN KITA: MAXSIUS MUSA