SABAH DI TAHAP AKHIR PERSIAPAN HADAPI PERLAWANAN LIGA PERDANA

Keputusan seri 1-1 menentang Kaya FC-Iloilo di PFF National Training Centre petang semalam menutup pramusim singkat skuad badak di Manila, Filipina. Kunjungan ke negara tersebut sedikit melegakan para penyokong tatkala membuka tirai perlawanan menentang Stallion Laguna FC dengan kemenangan 4-2, dua hari sebelumnya di Stadium Binan.
Namun, bagi pengendali Sabah, Jelius Ating pastinya masih belum boleh menarik nafas lega kerana misi yang lebih penting menanti minggu hadapan (menetang JDTII) untuk perlawanan pertama Liga Perdana. Apatah lagi Jelius masih terus memburu pemain import untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pito, Ogawa dan Kasonde. Ia adalah "kerja rumah" secara progresif oleh Jelius sehinggalah terbentuknya satu skuad mantap dengan pemain-pemain tempatan dan import berkualiti yang dibawa masuk untuk musim ini.
Kehadiran Park Taesu dalam trial bersama pasukan Sabah mungkin memberi harapan bahawa Jelius telah menemui pengganti Francis Kasonde di bahagian pertahanan tengah. Ketika kebanyakan penyokong tertanya-tanya "kelibat" mat salleh tinggi lampai dalam barisan kesebelasan utama menentang Stallion Laguna tempoh hari, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa penggempur yang menggantikan Ramos hadir tepat pada masanya. Apa tidak, satu jaringan Petru Leuca, pemain import trial yang dimaksudkan menguatkan lagi aura dan keyakinan para penyokong bahawa beliau akan ditandatangani selepas pramusim berakhir. Malangnya, spekulasi itu cuma bertahan selama sehari kerana Leuca mengalami kecederaan sekaligus menutup impiannya menyarung jersi pasukan ini.
Sabah terus menjemput seorang lagi calon import iaitu Vinicius Calamari, pemain berasal dari Brazil yang bermain di posisi attacking midfielder. Kita belum dapat melihat persembahannya kerana inilah kali pertama Calamari bersama dengan pasukan Sabah. Walau apapun spekulasi dan andaian penyokong tentang barisan calon import, segala-galanya terpulang kepada Jelius Ating dan Burhan Ajui untuk menerima atau menolak mereka buat pasukan. Setakat ini hanya Rodoljub Paunovic atau Roki sahaja yang masih bersama pasukan sehingga Jun ini. Heo Jaenyong pula sudah "angkat kaki" sebelum pramusim ini diadakan kerana faktor kecederaan lama yang dialami beliau.
Selepas pramusim berakhir, adakah kita bakal melihat Park Taesu dan Vinicius Calamari bersama dengan Sabah atau sebaliknya? Siapakah pula seorang lagi pemain import yang mengisi satu lagi slot jika Park dan Calamari sah menjadi milik Sabah? Segala-galanya terjawab tidak lama lagi. Bagi penyokong, gemakan suara kita untuk terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi buat pasukan Sabah. Kita adalah tunjang dan pemain ke-12 pasukan yang pastinya menguatkan lagi semangat juang tinggi pemain-pemain.
Buat Jelius Ating, Bob, serta pemain-pemain...anda masih mempunyai masa untuk memperbaiki aspek yang longgar dan menajamkan segala ketumpulan di hadapan gawang lawan. Ayuh, gempur musuh kita. Apapun terjadi, RADU TATAP RADU bossku!!!


-The Voice of Rhinos #12-

Comments

Popular posts from this blog

KENALI PEMAIN KITA: ROZAIMIE ROHIM

KENALI PEMAIN KITA: RAWILSON BATUIL

KENALI PEMAIN KITA: MAXSIUS MUSA