SABAH BERMULA DENGAN LANGKAH KIRI


SABAH memulakan kempen Liga Perdana musim 2019 dengan kekalahan di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada JDTII, malam tadi. Pasukan Sabah yang bermain dengan tiga pemain import dilihat lebih menguasai permainan dalam tempoh awal dengan gerakan-gerakan yang menarik.

Tuan rumah tidak menunggu lama apabila pemain import baharu, Luka Milonovic meledak gol pembukaan pada minit ke-12 hasil kesilapan pertahanan JDTII yang menghantar bola kepada penjaga gol, Haziq Nadzli. Rodoljub Paunovic membuat tekanan sebelum bola sampai kepada Luka yang mudah menolak masuk ke gawang lawan. Beberapa peluang Sabah hadir selepas itu, namun gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan. Keputusan tersebut kekal pada separuh masa pertama.

Sebaik wisel separuh masa kedua ditiup, JDTII mula memperkemas permainan dengan beberapa gerakan yang mencemaskan pasukan Sabah. Sabri Sahar hampir meletakkan Sabah selesa di hadapan apabila sepakan percumanya hanya terkena tiang sebelah kanan JDTII. Mohammed Ghaddar menyamakan kedudukan buat pasukan pelawat pada minit ke-62 selepas beliau gagal dikawal dengan kemas oleh pertahanan Sabah untuk membuat tandukan mudah.

Perlawanan bertambah rancak selepas itu dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Ia tampak seakan-akan berakhir dengan keputusan seri sebelum pemain gantian JDTII yang juga merupakan bekas pemain Sabah, Mod Rozaimie Abdul Rahman meledak jaringan cantik menerusi sepakan percuma yang menerjah penjuru gawang sebelah kanan Sabah melepas penjaga gol, Rozaimie Rohim pada minit ke-82. Jaringan tersebut kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Keputusan tersebut menyaksikan Sabah menduduki tangga ke-9 (tidak termasuk keputusan UKM vs Perlis) dan perlu segera bangkit pada perlawanan kedua menentang Kelantan. Perlawanan tersebut akan diadakan pada 8.2.2019 di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu.

-The Voice of Rhinos #12-

Comments

Popular posts from this blog

KENALI PEMAIN KITA: ROZAIMIE ROHIM

KENALI PEMAIN KITA: RAWILSON BATUIL

KENALI PEMAIN KITA: MAXSIUS MUSA