SABAH FA BURU KEMENANGAN PERTAMA
Aksi Luka Milunovic ketika bertemu JDTII di Likas
Kredit foto: Daily Express
Pasukan Sabah FA perlu bangkit pada aksi kedua Liga Perdana 2019 apabila berkunjung ke Kota Bharu bertemu Kelantan, malam ini. Kemenangan perlu diburu segera pasukan yang dikenali dengan gelaran Tambadau ini bagi mengembalikan keyakinan penyokong setelah tewas 1-2 pada perlawanan pertama di Likas ketika bertemu JDTII, Sabtu lepas.
Namun, harus diingat bahawa Kelantan juga memerlukan kemenangan apabila mengalami nasib yang sama seperti pasukan Sabah selepas dimalukan 0-1 oleh pasukan yang baharu dinaikkan dari Liga FAM, Selangor United. Apatah lagi pasukan yang dikenali sebagai The Red Warriors tersebut memiliki kelebihan apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri. Ia pastinya satu tugas yang sukar buat anak-anak buah Jelius Ating, namun mencapai kemenangan bukanlah misi yang mustahil.
Jika sebelum ini Jelius melihat ketumpulan di barisan serangan, masalah itu mungkin sudah diatasi apabila pasukan tersebut menandatangani penyerang dari Brazil, Luiz Carlos Caetano de Azevedo Júnior. Pemain ini bakal digandingkan bersama seorang lagi pemain import yang dikekalkan dari musim lepas iaitu Rodoljub Paunovic atau lebih dikenali sebagai Roki.
Di bahagian tengah pastinya akan dijana dengan kekuatan rangkaian yang diketuai oleh pemain import dari Serbia, Luka Milunovic serta pemain-pemain tempatan seperti Azzizan Nordin, Maxsius Musa, Sabri Sahar, mahupun Elyas Sulaiman.
Bahagian pertahanan pula pastinya dibarisi pemain berpengalaman seperti Rawilson Batuil, Randy Baruh, Park Tae-soo serta beberapa pilihan lain seperti Dendy Lowa, Alto Linus atau Evan Wensley. Benteng terakhir sudah pasti akan disandarkan kepada Rozaimie Rohim.
Selepas kemasukan Luiz Carlos Jr., ia memberi bayangan bahawa Jelius mungkin menerapkan formasi 3-5-2.
Perlawanan dijadualkan bermula pada jam 9 malam ini di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
-The Voice of Rhinos #12-
Comments
Post a Comment