SABAH BENAM PULAU PINANG, RAMPAS KEDUDUKAN TERATAS


Sabah meneruskan rentak cemerlang musim ini selepas merakamkan kemenangan keempat menewaskan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Likas, sebentar tadi. Kedua-dua jaringan Sabah dihasilkan oleh penyerang import dari Brazil, Luiz Junior.

Sebaik wisel permainan ditiupkan, Sabah mengatur gerakan-gerakan menarik melalui rangkaian penyerang yang diketuai oleh Luiz dan Rodoljub Paunovic. Sabah tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol apabila Luiz menanduk masuk hasil sepakan percuma Sabri Sahar pada minit ke-2.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Pulau Pinang mengatur gerakan ke pintu gol pasukan Sabah. Namun, ketangkasan penjaga gol Sabah iaitu Rozaimie Rohim menggagalkan misi mencari gol bagi pasukan lawan. Perlawanan dilihat agak seimbang tetapi Sabah dilihat lebih berbahaya mengancam kubu lawan.

Memasuki separuh masa kedua, Sabah terus melancarkan serangan dengan gerakan dari arah kiri dan kanan gawang Pulau Pinang. Luiz Junior sekali lagi menjadi "duri dalam daging" Pulau Pinang apabila menggandakan jaringan pada minit ke-51 selepas mendapat hantaran seorang lagi pemain Sabah dari sebelah kanan gawang pasukan Pulau Pinang.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Kemenangan keempat ini membolehkan pasukan Sabah mengumpul 14 mata dan kini merampas kedudukan teratas liga selepas JDTII sekadar seri 1-1 menentang Sarawak. Sabah dan JDTII berkongsi mata (14 mata) dan hanya dipisahkan dengan jaringan. Setakat ini Sabah menjaringkan 14 gol manakala JDTII dengan 9 gol. Ini merupakan clean sheet kedua Sabah selepas aksi menentang Negeri Sembilan sebelum ini.

Selepas ini, Sabah akan berkunjung ke Kota Bharu pada 3 April ini untuk aksi pusingan kedua Piala FA Shoppe menentang Kelantan United, iaitu salah satu pasukan yang beraksi di Liga M3.

RAMALAN TEPAT

Jika ada yang membaca artikel sebelum ini, admin ada membuat ramalan mengenai perlawanan antara Sabah dan Pulau Pinang. Admin membuat ramalan Sabah akan menang 2-0. Nampaknya tepat jangkaan admin. Namun, itu tidaklah penting berbanding kemenangan yang cukup berharga ini.

-Mie Ismile-
TVOR12

Comments

Popular posts from this blog

KENALI PEMAIN KITA: ROZAIMIE ROHIM

KENALI PEMAIN KITA: RAWILSON BATUIL

KENALI PEMAIN KITA: MAXSIUS MUSA