SABAH IKAT NEGERI SEMBILAN DI PAROI
Sabah berjaya membawa pulang satu mata dari Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi selepas mengikat Negeri Sembilan tanpa jaringan.
Perlawanan malam tadi menyaksikan Sabah menguasai perlawanan pada 10 minit pertama. Sabah terlebih dahulu menguji gawang pasukan tuan rumah menerusi sepakan percuma Sabri Sahar. Namun, sepakan beliau tidak menepati sasaran. Pada minit ke-9 menyaksikan satu percubaan pada jarak 35 meter oleh Azzizan Nordin selepas satu siri gerakan dilakukan oleh beberapa pemain. Percubaan Azzizan tinggi melepasi palang gol.
Rodoljub Paunovic turut menguji penjaga gol Negeri Sembilan, Fadzley Rahim melalui satu tandukan, namun tidak berjaya menemui jaring gol lawan. Selepas itu, Negeri Sembilan memperkemas permainan dengan gerakan-gerakan berbahaya. Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-24 selepas pemain importnya, Jose Almar Barros Neto membuat satu tandukan deras hasil hantaran Muhammad Asyraf Roslan. Rozaimie Rohim bertindak menyelamatkan keadaan.
Sabah turut memperoleh peluang terbaik pada minit ke-36 menerusi Maxsius Musa yang membuat satu larian menarik dalam kotak penalti. Sebaik membuat percubaan, Maxsius seolah-olah kelihatan seperti dikasari pertahanan Negeri Sembilan, namun pengadil tidak memberikan sepakan penalti. Empat minit kemudian, Luiz Carlos Junior membuat satu rembatan dari luar kotak penalti. Walau bagaimanapun, sepakannya tersasar beberapa inci dari pintu gol sebelah kiri Negeri Sembilan.
Bersambung babak kedua, perlawanan dilihat agak seimbang di mana kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Luka Milunovic hampir meletakkan Sabah pada minit ke-46. Percubaannya tidak menemui sasaran walaupun hanya berdepan Fadzley. Beberapa lagi percubaan Negeri Sembilan turut mencemaskan gawang Sabah tetapi pertahanan ampuh yang diketuai oleh Park Taesu dan Rawilson Batuil menggagalkan usaha pemain-pemain tuan rumah untuk menjaringkan gol.
Rahmanshah Marajeh yang dimasukkan dalam masa kecederaan menggantikan Maxsius Musa hampir menjadi wira apabila rembatannya pada saat akhir terkena tiang. Malangnya, beliau terlebih dahulu dipersalahkan pengadil selepas mengasari penjaga gol lawan sebelum percubaan tersebut dilakukan. Tamat perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan buntu menjaringkan gol dan hanya berpuas hati dengan perkongsian satu mata.
Apa yang menarik, Sabah akhirnya merekodkan clean sheet pertama selepas enam perlawanan. Negeri Sembilan pula terus mencatatkan keputusan seri keempat daripada enam perlawanan setakat ini. Selepas ini Sabah akan melayani kunjungan Pulau Pinang di Stadium Likas. Perlawanan liga akan berehat selama dua minggu bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa melibatkan pasukan Malaysia.
Mie Ismile
TVOR12
Comments
Post a Comment