SABAH SEDIA BAWA BALIK TIGA MATA DARI PAROI
Gandingan Roki (kiri) dan Luiz Junior sekali lagi ditagih dalam aksi menentang Negeri Sembilan, esok.
Pasukan Sabah akan bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi bagi menghadapi perlawanan ke-6 Liga Premier bertemu Negeri Sembilan, esok. Kehadiran pasukan Negeri di Bawah Bayu ini sudah pasti mahu terus memburu tiga mata penuh selepas meraih tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini.
Sebagai rekod, Sabah sudah pun mengumpul 10 mata hasil satu kekalahan, satu seri dan tiga kemenangan. Pasukan ini menghuni tangga kedua di belakang Johor Darul Takzim 2 (JDTII), dipisahkan hanya dengan dua mata.
Dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan, Ketua Jurulatih, Jelius Ating dijangka sekali lagi akan menurunkan kesebelasan utama ketika menentang PDRM FA tempoh hari. Gandingan Rodoljub Paunovic atau Roki serta Luiz Junior di bahagian hadapan sudah pasti akan memberikan masalah buat pertahanan Negeri Sembilan. Jika dilihat pada perlawanan lalu, kedua-dua penyerang ini semakin serasi dengan dibantu oleh pergerakan dari kawasan tengah yang dikemudi oleh Luka Milunovic, Maxsius Musa, Sabri Sahar dan Azzizan Nordin.
Walau bagaimanapun, aspek bertahan harus diperkemaskan oleh pasukan ini memandangkan mereka sudah dibolosi dengan lapan gol setakat ini. Sehingga perlawanan kelima, belum ada clean sheet yang dicatatkan. Kebanyakan jaringan lawan terhasil daripada situasi bola mati. Berikut merupakan rekod perlawanan membabitkan pasukan Sabah sebelum ini:
Sabah vs JDTII (1-2)
Kelantan vs Sabah (3-3)
Sabah vs Terengganu FC II (3-1)
Sarawak vs Sabah (1-2)
Sabah vs PDRM (3-1)
Diharapkan agar kemenangan berpihak kepada pasukan Sabah, seterusnya merakamkan kemenangan keempat berturut-turut. Jika tiga mata dapat dibawa balik dari Paroi, sudah pasti akan memberi tekanan kepada pendahulu liga, Johor Darul Takzim 2 (JDTII). Kemenangan ini juga mampu menjarakkan mata daripada pasukan Selangor United dan Terengganu FC II yang berpotensi untuk merampas kedudukan dua teratas.
Ayuh, Sabah! Kekalkan momentum kemenangan untuk terus mengejar misi ke Liga Super 2020.
Mie Ismile
TVOR12
Comments
Post a Comment