Sabah temui rentak kemenangan, tewaskan UKM FC 3-1

Pemain-pemain Sabah meraihkan jaringan Alto Linus pada minit ke-20. Kredit foto:MFL

Sabah menemui semula rentak selepas tiga perlawanan tanpa kemenangan apabila menewaskan UKM FC dengan jaringan 3-1 di laman sendiri, malam tadi.

Pemain-pemain Sabah yang seakan-akan dahagakan jaringan dan kemenangan selepas mendapat amaran keras daripada Pemangku Presiden SAFA beberapa hari lalu telah mempamerkan satu persembahan meyakinkan sejak wisel permainan dibunyikan. Ketika permainan baru menjejak 24 saat, Rodoljub Paunovic hampir meletakkan Sabah di hadapan dengan percubaan jarak dekat selepas menerima hantaran Alto Linus. Namun, ketangkasan penjaga gol lawan, Khatul Anuar Md. Jalil menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.

UKM FC membuat satu serangan balas pada minit ke-7. Namun, percubaan Azri Zulkifli sedikit melepasi palang walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim. Selepas itu, Sabah dilihat memperkemas corak permainan dan sering membuat serangan dari arah kanan. Rawilson Batuil hampir menjaringkan gol apabila tandukannya sedikit tersasar hasil hantaran Azzizan Nordin di sebelah kanan.

Jaringan yang ditunggu-tunggu hadir pada minit ke-20 selepas Alto Linus membuat satu tandukan kencang hasil umpanan cantik daripada Paunovic. Selepas jaringan itu, Sabah menyerang bertali arus dan membuat beberapa percubaan yang tidak menepati gawang UKM FC.

Dalam keghairahan Sabah membuat serangan, UKM FC melakukan satu serangan pantas dan hasilnya Hafizi Amirudin berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-42. Sabah pula pantas memadamkan jaringan penyamaan tersebut sebelum rehat apabila Dendy Lowa membuat satu jaringan yang tidak disangka-sangka dan mengelirukan Khatul Anuar. Dendy berjaya menjaringkan gol pada minit ke-45 selepas bola hantarannya dari tengah padang ke kawasan penalti lawan melantun melepasi jangkauan penjaga gol UKM tersebut.

Memasuki separuh masa kedua menyaksikan Sabah terus memburu jaringan ketiga. Hasilnya, Paunovic menggandakan kedudukan apabila membuat satu rembatan rendah selepas menewaskan beberapa pertahanan lawan pada minit ke-60. Mateo Roskam hampir merapatkan kedudukan pada minit ke-80, namun rembatannya dari luar kotak penalti berjaya ditepis Rozaimie. Kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan malam tadi menyaksikan Sabah terus mengukuhkan kedudukan di tempat kedua carta liga dengan 18 mata sambil UiTM FC mengekori rapat di tempat ketiga dengan 14 mata. Namun, UiTM FC masih kekurangan dua perlawanan, termasuk yang dilangsungkan hari ini. Perlawanan malam tadi adalah yang terakhir buat pasukan Sabah pada pusingan pertama liga. Sepatutnya mereka dijadualkan bertemu Perlis dalam perlawanan terakhir sebelum pasukan Singa Utara tersebut disingkirkan dari saingan akibat masalah dalaman yang dihadapi.

Kedudukan terkini selepas 10 perlawanan


Selepas ini Sabah akan berehat selama dua minggu sebelum menerima kunjungan Selangor United pada pusingan kedua Liga Premier, di Stadium Likas pada tarikh antara 2-4 Mei 2019.

Mie Ismile
TVOR12

Comments

Popular posts from this blog

KENALI PEMAIN KITA: ROZAIMIE ROHIM

KENALI PEMAIN KITA: RAWILSON BATUIL

KENALI PEMAIN KITA: MAXSIUS MUSA