Sabah berjaya lunas "dendam" di Likas

Pemain-pemain Sabah meraihkan jaringan Roki dengan cara tersendiri. -Kredit foto:MFL

Sabah memulakan pusingan kedua Liga Premier Malaysia 2019 dengan mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Selangor United, di Likas semalam. Jaringan tunggal Rodoljub Paunovic  atau Roki sudah cukup untuk pasukan Sabah mengutip tiga mata penuh sekaligus membalas kekalahan 2-1 di tempat lawan pada pusingan pertama.

Pasukan yang hanya bermain dengan tiga import ini bermula garang sebaik wisel permainan dibunyikan. Asakan demi asakan yang dilakukan rangkaian tengah dan serangan memberikan masalah buat pertahanan Selangor United yang dilihat bertungkus lumus menyelamatkan keadaan di depan gawang mereka. 

Pasukan kendalian Jelius Ating tidak menunggu lama apabila Rodoljub Paunovic membuat satu sepakan mudah menewaskan penjaga gol Selangor United, Muhamad Nuraizat Abdul Aziz selepas menerima hantaran lintang Alto Linus. Sabah sekali lagi hampir menjaringkan gol menerusi Park Taesu. Walau bagaimanapun, tandukannya sekadar menggegar palang gol hasil sepakan sudut Azzizan Nordin.

Luiz Junior mempunyai satu peluang melakukan jaringan. Namun, percubaan beliau sempat diselamatkan Nuraizat. Selangor United dilihat sekali sekala mencemaskan kubu tuan rumah apabila percubaan pemain tengahnya, Nikita Olegovich Pavlenko berjaya menewaskan Rozaimie Rohim tetapi bola tersebut hanya terkena tiang gol. .

Babak kedua menyaksikan Selangor United mempamerkan aksi lebih baik dengan beberapa siri percubaan yang agak mencemaskan kubu Sabah. Tuan rumah turut memiliki beberapa peluang terbaik menerusi Luiz Junior dan Roki. Namun percubaan mereka sama ada tersasar atau diselamatkan penjaga gol.

Raslam Khas Abdul Rashid hampir menyamakan kedudukan buat Selangor United apabila percubaannya terkena palang gol. Azzizan Nordin turut memiliki peluang menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan, namun sedikit tersasar. Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil, Muhamad Faiz Jamaludin.

Kedudukan terkini Liga Premier Malaysia selepas 11 perlawanan.-Kredit:MFL

Kemenangan ini bermakna Sabah berjaya memintas semula UiTM FC  bagi menduduki tempat kedua dengan mengumpul 21 mata, ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, JDT FC II yang tewas kepada PDRM sehari sebelumnya. Sabah akan berkunjung ke Stadium Cheras menentang UKM FC pada 17 Mei, diikuti Pulau Pinang pada 25 Mei, juga di tempat lawan.

Mie Ismile
TVOR12

Comments

Popular posts from this blog

KENALI PEMAIN KITA: ROZAIMIE ROHIM

KENALI PEMAIN KITA: RAWILSON BATUIL

KENALI PEMAIN KITA: MAXSIUS MUSA