Jaringan "world class" Roki bawa Sabah ke Liga Super 2020
Paunovic meraikan jaringan bersama rakan sepasukan dengan aksi tarian sumazau.
Sabah mengesahkan slot ke Liga Super musim depan selepas menumpaskan JDT FC II 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam tadi. Jaringan berkelas dunia yang dilakukan pemain import dari Serbia, Rodoljub Paunovic memastikan Sabah membawa tiga mata penuh sekaligus mencapai sasaran awal ke saingan tertinggi bola sepak tempatan itu.
Perlawanan malam tadi cukup menarik dan seimbang di mana kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Tuan rumah terlebih dahulu mencemaskan pasukan Sabah menerusi percubaan pemain kelahiran Bongawan, Rozaimi Abdul Rahman. Namun, percubaan beliau hanya sekadar menggegar tiang gol sebelah kanan pelawat.
Selepas itu, barulah Sabah membuat beberapa percubaan berbahaya. Aguinaldo Mendes Veiga hampir meletakkan Sabah di hadapan selepas berjaya menggelecek penjaga gol JDT FC II, Haziq Nadzli. Namun, percubaannya selepas itu sedikit tersasar di tepi jaring. Paunovic atau lebih mesra dikenali sebagai Roki juga mempunyai peluang, tetapi tendangannya dari jarak jauh tidak menepati gawang walaupun Haziq sudah tertewas. Separuh masa pertama berakhir dengan 0-0.
Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan dilihat memperkemaskan strategi permainan. Walau bagaimanapun, Sabah berjaya mematahkan setiap serangan yang dilakukan JDT FC II. Bermula dari satu serangan balas, Ricco Nigel Milus menghantar bola kepada Roki sebelum membuat rembatan padu dari jarak 30 meter menewaskan Haziq pada minit ke-59. Jaringan tersebut boleh dikatakan antara yang tercantik sepanjang musim ini.
Pada minit-minit akhir perlawanan, tuan rumah membuat beberapa percubaan mencemaskan. Namun, Rozaimie Rohim menafikan setiap percubaan tersebut. Pertahanan kental yang dikemudi Rawilson Batuil dan Park Taesu turut memberi kesukaran buat barisan serangan JDT FC II. Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Sabah kini terus menjarakkan mata meninggalkan JDT FC II di tempat kedua dengan perbezaan 4 mata. Namun, Sabah memiliki baki 3 perlawanan berbanding JDT FC II yang hanya mempunyai baki 2 perlawanan.
Kedudukan terkini Liga Premier Malaysia 2019.
Kredit:Malaysian Football League
Kredit:Malaysian Football League
Sabah hanya perlukan satu kemenangan lagi untuk muncul juara Liga Premier Malaysia 2019. Selepas ini, Sabah akan berkunjung ke Stadium UiTM Shah Alam untuk bertemu dengan UiTM FC pada 9 Julai 2019.
Mie Ismile
TVOR12
Comments
Post a Comment