Malam gemilang Sabah FA: Tewaskan Kelantan, julang trofi Liga Premier 2019
Antara aksi menarik dalam perlawanan di antara Sabah menentang Kelantan, malam tadi.
Kredit foto: Malaysian Football League
Mie Ismile
TVOR12
Kredit foto: Malaysian Football League
Sabah meneruskan momentum kemenangan dalam baki saingan Liga Premier Malaysia 2019 dengan menewaskan Kelantan 1-0 di Stadium Likas, malam tadi. Lebih manis lagi apabila kemenangan tersebut menjadi pelengkap kepada malam bersejarah pasukan Sabah menjulang trofi Liga Premier Malaysia selepas mengesahkan kejuaraan pada perlawanan menentang UiTM FC, Selasa lalu.
Dalam aksi di hadapan lebih 10 ribu penonton yang hadir, Sabah dan Kelantan mempamerkan aksi berhati-hati ketika hujan turun sepanjang perlawanan. Kelantan hampir mendahului tuan rumah pada minit ke-7 apabila pemain import mereka, L'Imam Seydi berjaya melepasi kawalan Rawilson Batuil. Percubaan Seydi yang turut menewaskan penjaga gol Rozaimie Rohim bagaimanapun sempat diselamatkan Mafry Balang sebelum melepasi garisan gol.
Selepas itu, Sabah mengatur serangan demi serangan. Sepakan percuma Alto Linus dari luar kotak penalti hampir memberikan sesuatu buat Sabah. Namun, Mohammad Fikri Che Soh cemerlang menidakkan percubaan tersebut.
Aguinaldo Mendes juga memiliki peluang terbaik apabila hanya berhadapan dengan Fikri. Mujur, penjaga gol Kelantan tersebut sempat menepis keluar bola tersebut. Keputusan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.
Separuh masa kedua menampilkan permainan lebih menarik. Kelantan yang memburu kemenangan bagi mengelakkan daripada tersingkir dalam saingan Liga Premier musim depan tidak berputus asa untuk mencari gol. Mujur ketangkasan Rozaimie serta kekebalan benteng pertahanan Sabah menyukarkan mereka untuk menjaringkan sebarang gol.
Pada minit ke-57, Sabah dianugerahkan sepakan penalti selepas Rodoljub Paunovic dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Farisham Ismail. Walau bagaimanapun, Paunovic atau lebih mesra dikenali sebagai Roki gagal menewaskan Fikri sekaligus memberi sepakan penjuru kepada pasukan Sabah
Ahmet Atayev yang mengambil sepakan penjuru tersebut membuat sepakan lencong terus masuk ke gawang Kelantan. Ia turut dibantu oleh kegagalan Fikri Che Soh menangkap kemas bola tersebut. Sebagai rekod, jaringan tersebut adalah yang pertama buat Atayev musim ini.
Nik Akif hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-87. Namun, percubaannya tidak menepati sasaran. Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekaligus menyerikan malam penuh gemilang Sabah menjulang trofi kejuaraan di halaman sendiri.
Penyampaian trofi kejuaraan tersebut disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Haji Mahiruddin sambil disaksikan oleh beberapa kenamaan seperti Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datuk Peter Anthony yang juga selaku Pemangku Presiden SAFA, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, Datuk Dr Yusof Yacob, dan beberapa lagi tetamu kehormat lain.
Para pemain Sabah menjulang trofi kejuaraan Liga Premier Malaysia
Kemenangan malam tadi menyaksikan Sabah terus gah di persada dengan mengutip 43 mata, jauh meninggalkan JDTII di tempat kedua (33 mata). Selepas ini, Sabah akan melengkapkan saingan liga dengan berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk menentang Terengganu FC II pada minggu hadapan.
Apresiasi:
Kami di The Voice of Rhinos #12 mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh pasukan Sabah FA di atas kejayaan muncul juara Liga Premier Malaysia 2019.
Mie Ismile
TVOR12
Comments
Post a Comment