Sabah pertaruh pemain simpanan hadapi Terengganu FC II
Sang Juara Liga Perdana Malaysia 2019, Sabah berkunjung ke Kuala Terengganu untuk menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini. Skuad bimbingan Jelius Ating sudah pun mengesahkan kejuaraan lebih awal.
Pasukan yang kebanyakannya dibarisi pemain muda ini sudah pasti mahu melengkapkan perlawanan terakhir loga dengan nota kemenangan. Jelius seperti dilaporkan sebuah portal sukan bakal menurunkan beberapa pemain simpanan yang jarang bermain sebelum ini.
Menurutnya, ia bukanlah menganggap aksi ini tidak penting. Sebaliknya, beliau mahu mengelakkan risiko beberapa pemain yang berpotensi digantung perlawanan. Rodoljub Paunovic, Dendy Lowa, dan Mafry Balang merupakan pemain yang bakal digantung perlawanan sekiranya mengutip kad kuning seterusnya.
Pada masa sama, beberapa pemain utama juga dikatakan tidak begitu cergas akibat mengalami sedikit kecederaan. Walau bagaimanapun, Jelius tetap menuntut aksi terbaik daripada anak-anak buahnya dan sudah pasti mahukan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan terakhir ini diteruskan.
Park Taesu dan Randy Baruh Samson yang menjalani penggantungan perlawanan sudah boleh beraksi malam ini. Pemain lain yang dijangka bakal diturunkan adalah seperti Maxsius Musa, Ummareng Bacok, Azwan Abdul Fatah, Robson Rendy Rining, dan Rahmanshah Marajeh. Namun, barisan kesebelasan utama bakal dimuktamadkan Jelius pada petang ini.
Sebarang keputusan perlawanan ini tidak akan menjejaskan kedudukan Sabah di persada liga. Selepas berakhirnya perlawanan ini, Sabah akan memghadapi persaingan Piala Malaysia yang diadakan dalam bulan Ogos nanti.
Mie Ismile
TVOR12
Comments
Post a Comment