Sabah sah dinobatkan juara Liga Premier 2019
Rodoljub Paunovic berusaha melepasi kawalan ketat pemain UiTM FC.
Kredit foto: Malaysia Football League
Mie Ismile
TVOR12
Kredit foto: Malaysia Football League
Kegemilangan pasukan Sabah FA berterusan apabila mengesahkan kejuaraan Liga Premier 2019 selepas menumpaskan UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.
Kejayaan itu lebih bermakna selepas mereka terlebih dahulu mengesahkan kemaraan dalam saingan Liga Super musim depan apabila menewaskan Johor Darul Takzim II pada Jumaat lepas. Sabah yang mempunyai baki tiga perlawanan sebelum ini tidak mensia-siakan peluang merangkul kejuaraan lebih awal.
Perlawanan malam tadi menyaksikan penguasaan pasukan Sabah walaupun tanpa kehadiran dua tonggak import, iaitu Park Taesu dan Ahmet Atayev yang digantung perlawanan akibat menerima jumlah kad kuning dalam beberapa perlawanan berturut-turut.
Separuh masa pertama dilihat Sabah menguasai permainan dengan deretan peluang terhidang. Ricco Nigel Milus membuat percubaan pertama pada minit ke-7. Namun, rembatannya dari luar kotak penalti sedikit melepasi palang gol. Alto Linus turut memiliki peluang menewaskan penjaga gol UiTM, Nor Haziq Haris dengan percubaan satu lawan satu. Walau bagaimanapun, bola tersebut tersasar di tepi jaring.
Aguinaldo Mendes berjaya melepasi kawala pertahanan UiTM FC. Percubaannya selepas itu tidak menepati sasaran. Sabah mempunyai peluang terbaik mendahului tuan rumah hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti. Namun, percubaan Rodoljub Paunovic atau Roki sekadar menggegar palang.
UiTM FC yang jarang membuat serangan berjaya mendapatkan sepakan percuma dari luar kotak penalti selepas Park Yongjun dijatuhkan pertahanan pelawat. Zarko Korac tidak mensia-siakan peluang tersebut dengan membuat tendangan kemas menewaskan Rozaimie Rohim pada minit ke-31 sekaligus menjadikan jumlah jaringan beliau kepada 13 gol. Separuh masa pertama kekal dengan kedudukan 1-0.
Memasuki separuh masa kedua, Sabah dilihat memperkemas permainan dengan melancarkan serangan bertali arus. Hasilnya, Roki berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-57 menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan salah seorang pemain UiTM FC. Ia merupakan jaringan ke-11 Roki sekaligus mencabar Zarko Korac dalam perebutan Anugerah Kasut Emas Liga Premier 2019.
Aguinaldo Mendes Veiga menjadi wira pasukan Sabah apabila menanduk masuk bola hantaran Ricco Nigel Milus menerusi sepakan penjuru pada minit ke-65. Jaringan tersebut merupakan gol ketiga beliau musim ini. Sabah meneruskan serangan untuk memburu lebih banyak gol. Namun, usaha tersebut sama ada berjaya dikekang oleh pertahanan tuan rumah mahupun percubaan tersasar. Keputusan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus mengesahkan kejuaraan buat pasukan Sabah selepas 23 tahun tanpa piala.
Sabah kini mengumpul 40 mata, di mana jumlah tersebut tidak mampu dipintas oleh mana-mana pasukan. Selepas ini, Sabah bakal menerima kunjungan Kelantan di Stadium Likas pada 13.7.2019 (Sabtu) sebelum melengkapkan jadual perlawanan liga menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pada minggu depan.
Mie Ismile
TVOR12
Comments
Post a Comment