Piala Malaysia: Sabah mampu lakar kejutan di Ipoh


Sabah bakal membuka tirai saingan dalam Piala Malaysia apabila menentang Perak, malam ini. Perlawanan yang diadakan di Stadium Perak, Ipoh ini sudah pasti menjadi antara perlawanan tumpuan memandangkan kedua-dua pasukan diundi dalam "kumpulan maut" bersama Pahang dan Pulau Pinang.

Skuad kendalian Jelius Ating yang merupakan Juara Liga Premier musim ini dilihat cukup bersedia menghadapi Piala Malaysia selepas meneruskan momentum positif dalam dua aksi persahabatan menentang UKM FC, minggu lalu. Pasukan Perak pula berada dalam prestasi konsisten dan terbaharu, skuad Seladang ini berjaya menjadi naib juara Piala FA selepas tewas di tangan Kedah pada saat akhir.

Pasukan Sabah pastinya akan turun dengan misi membawa pulang tiga mata dari tempat lawan biarpun menyedari reputasi tuan rumah yang cukup baik. Namun, aura yang diterapkan Jelius Ating dalam pasukan ini mampu menampilkan satu kejutan yang semestinya diharapkan seluruh penyokong pasukan Sabah.

Perak juga turun dengan semangat tinggi selepas tewas dalam perlawanan akhir Piala FA  di tangan Kedah. Bagaikan seladang luka, pasukan bimbingan Mehmet Durakovic ini pastinya mahu bangkit dari kekecewaan sekaligus menghadirkan gerun buat pasukan Sabah. 

Sebagai rekod, kali terakhir pertembungan kedua-dua pasukan ini adalah pada separuh akhir Piala FA musim lalu dengan keputusan 2-2 di Stadium Likas hasil jaringan Sabri Sahar dan Rawilson Batuil. Sebelum itu, Sabah telah pun tewas dengan jaringan 5-0 di Ipoh. Namun, keputusan itu mahu segera dilupakan Jelius dan anak-anak buahnya untuk menumpukan aksi pada malam ini.

Sabah dijangka menampilkan skuad terbaik pada malam ini selepas semua pemain disahkan bebas daripada kecederaan. Rozaimie Rohim sudah pasti menggalas tugas selaku benteng terakhir Sabah dengan dibantu Rawilson Batuil, Park Taesu, Randy Baruh dan Evan Wensley di bahagian pertahanan. Azzizan Nordin pula akan bergandingan dengan Ahmet Ateyev serta Jenius Karib dan Alto Linus di posisi tengah. Pemain Terbaik PFAM bulan Jun, Rodoljub Paunovic bakal menjadi penggempur utama bersama Aguinaldo Mendes Veiga.

Perlawanan akan bermula pada jam 9 malam ini dan turut disiarkan secara langsung di TV2 serta aplikasi Iflix.

Mie Ismile
TVOR12

Comments

Popular posts from this blog

KENALI PEMAIN KITA: ROZAIMIE ROHIM

KENALI PEMAIN KITA: RAWILSON BATUIL

KENALI PEMAIN KITA: MAXSIUS MUSA