Tahun mencabar buat Sabah FA
Tahun mencabar buat Sabah FA
Oleh: Mohammad Hilmi Ismail
Hari ini kita memasuki Tahun 2020. Pastinya banyak kenangan suka duka yang dilalui pada tahun lalu dan diharapkan menjadi lebih baik pada tahun ini. Harapan itu juga disandarkan kepada pasukan bola sepak Sabah FA yang telah berjaya menjuarai Liga Premier 2019 sekaligus layak ke Liga Super 2020.
Harus diingat bahawa saingan di peringkat Liga Super ini tidak seperti Liga Premier. Sudah pasti ia menghadirkan persaingan lebih sengit memandangkan liga ini turut disertai nama-nama besar seperti Johor Darul Takzim, Kedah, Perak, Selangor, Melaka United dan Pahang. Pasukan-pasukan ini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana mereka dibarisi pemain-pemain yang cukup berpengalaman. Namun, itu bukan alasan bagi pasukan Sabah untuk tidak memberi saingan sengit pada kali ini.
Bagi pasukan Sabah, pihak pengurusan telah mengekalkan sebahagian besar pemain pada tahun lalu, termasuk dua orang pemain import yang masih memiliki baki kontrak sehingga tahun ini. Nama-nama seperti Rawilson Batuil, Azzizan Nordin, Sabri Sahar, Rozaimie Rohim, Maxsius Musa, Ricco Nigel Milus, Alto Linus adalah antara pemain yang diberikan kontrak baharu. Rodoljub Paunovic dan Park Taesu merupakan pemain import yang masih bersama pasukan.
Selain itu, Sabah juga mengikat dua orang pemain import tempatan, iaitu Zubir Azmi (Pertahanan-Pahang) dan Wan Azraie Wan Teh (Penjaga Gol- Terengganu FC). Semestinya kehadiran dua pemain ini akan menambahkan lagi kekuatan pasukan di samping memberi lebih banyak pilihan kepada jurulatih untuk memilih pemain terbaik dalam kesebelasan utama.
Barisan kejurulatihan juga mengalami perubahan setelah Jelius Ating tidak memiliki Lesen Pro AFC sebagai salah satu syarat bagi seorang Ketua Jurulatih dalam Liga Super. Tempatnya digantikan oleh bekas Penolong Jurulatih Skuad B-23 Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto. Jelius akan bertindak sebagai timbalan ketua jurulatih dan Burhan Ajui selaku pembantu jurulatih. Sofie Imam Faizal yang juga berasal dari Indonesia dilantik sebagai jurulatih kecergasan.
Setakat ini, Sabah masih lagi mencari tiga pemain import termasuk bagi slot ASEAN. Sebelum ini, terdapat beberapa orang pemain import hadir bagi sesi pemilihan. Namun, prestasi mereka masih belum dapat memikat pihak kejurulatihan. Ada juga pemain yang dikatakan meminta bayaran tinggi yang menyebabkan SAFA terpaksa melupakan khidmat pemain tersebut.
Selain itu, ada juga khabar angin yang mengaitkan pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani dan Osvaldo Haay yang bakal dibawa ke dalam pasukan. Walau bagaimanapun, Saddil dikatakan menolak lamaran tersebut kerana lebih berminat untuk bermain di eropah
Persoalannya sekarang, dengan barisan pemain setakat ini, adakah Sabah FA mampu memberi saingan sengit kepada pasukan-pasukan elit lain dalam Liga Super? Bagaimana pula dengan kehadiran penyokong ke Stadium Likas pada musim ini?
Sabah FA harus mengambil berat tentang penyokong ini. Jika Sabah FA masih berkeras untuk membuat larangan-larangan yang tidak masuk akal, ia akan memberi suatu cabaran besar. Ini kerana pasukan-pasukan besar mempunyai jumlah penyokong dan ultras yang besar. Pastinya mereka juga bakal membawa gendang dan banner masuk ke dalam stadium. Jika masih dilarang, kemungkinan besar Sabah FA bakal menerima kritikan hebat dari penyokong-penyokong serta pemilik pasukan lawan.
Semoga pasukan Sabah memberi saingan sengit dalam Liga Super yang mencabar pada musim ini. Sabah FA harus mengambil pendekatan terbaik bagi menarik semula penyokong datang ke stadium. Jangan sampai Stadium Likas ditawan penyokong pasukan lawan!
Comments
Post a Comment