Analisis dan rumusan jelajah Sabah FA di Indonesia




Sabah mengakhiri kempen pramusim di Indonesia dengan keputusan seri 2-2 menentang Persela Lamongan, petang tadi dalam kumpulan B Piala Gubernur Jawa Timur. Sebelum ini Sabah tewas dua perlawanan di tangan Arema FC 0-2) dan Persija Jakarta (0-2) dalam kejohanan tersebut, selain tewas 1-3 di tangan Persebaya Surabaya pada perlawanan persahabatan.

Ketua Jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto menurunkan kesemua pemain yang dibawa ke Indonesia sepanjang empat perlawanan. Namun, kem pasukan Sabah sedikit gusar setelah Maxsius Musa dilanda kecederaan bahu dan terpaksa berehat selama sebulan.

Apa yang menjadi tumpuan utama sepanjang keberadaan pasukan Sabah di Indonesia adalah corak permainan yang ditampilkan. Rata-rata penyokong dan netizen masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan corak yang ditampilkan pasukan. Namun, perlawanan pramusim ini tidak boleh dijadikan ukuran sepenuhnya kemampuan pasukan Sabah dalam Liga Super. Setiap perlawanan yang dilalui tersebut adalah lebih kepada menguji taktikal dan persefahaman sebelum bersaing dalam liga sebenar, dua minggu lagi.

Sepanjang perlawanan di Indonesia, beberapa kelemahan  dalam pasukan Sabah dapat dilihat dan perlu diatasi segera. Melalui analisis yang dilakukan, kami menyenaraikan beberapa perkara yang harus diatasi oleh Kurniawan sebelum Liga Super bermula.

1. Persefahaman
Perkara ini sangat penting dalam pasukan. Apa yang dapat lihat, masih terdapat lompang yang perlu ditutup segera oleh pasukan ini. Seringkali bola hilang akibat persefahaman antara pemain yang kurang menjadi. Namun, terdapat sedikit peningkatan dari perlawanan ke perlawanan dan para pemain perlu untuk terus meningkatkan momentum tersebut.

2. Serangan yang longlai
Perkara ini yang menjadi buah mulut dan kerisauan para penyokong Sabah. Memang ada benarnya kerana daripada empat perlawanan, Sabah hanya berjaya membolosi gawang lawan sebanyak tiga kali sahaja. Apatah lagi barisan hadapan dikemudi oleh pemain-pemain import seperti Roki dan Pito serta dibantu oleh Buschenning dan Petrus. Kurniawan harus melihat masalah ini dan perlu segera mencari solusi agar Sabah tidak ketandusan jaringan dalam Liga Super nanti.

3. Pertahanan yang longgar
Apa lagi yang dapat kita nafikan apabila menyaksikan Sabah dibolosi 9 gol sepanjang pramusim di Indonesia. Jelas kelemahan bertahan dengan dibantu beberapa kesilapan mudah pemain menjadi masalah yang harus diatasi seberapa segera. Setiap kali pasukan lawan melancarkan "counter attack", barisan pertahanan dilihat agak kelam kabut sehingga kesilapan individu berlaku.

4. Hantaran tinggi kurang menjadi
Kurniawan dilihat cuba menerapkan taktikal "long ball" dalam dua perlawanan awal, iaitu ketika bertemu Persebaya dan Arema FC. Namun, ia kurang menjadi tatkala hantaran-hantaran bola jauh mudah dibaca dan dipatahkan pertahanan lawan. Apa yang positif adalah pemain juga berani membuat hantaran-hantaran pendek yang cukup menarik dan ini perlu dikekalkan agar tidak mudah kehilangan dari segi penguasaan bola.

5. Serangan balas yang tidak efektif
Ketika Sabah berpeluang melancarkan serangan balas, ia seringkali dilihat terjejas akibat kelewatan barisan penyerang naik untuk membuat serangan. Ia turu diakui oleh pengulas MNC TV yang beberapa kali menyatakan perkara sama. Diharapkan agar masalah tersebut juga diatasi dengan segera.

6. Perlukan kembar Petrus Shitembi
Bahagian tengah memerlukan "Petrus Shitembi 2.0" agar lebih efektif dan progresif dalam membuat hantaran serta lorongan kepada penyerang. Setakat ini, Petrus Shitembi menunjukkan kualiti mantal di bahagian tengah. Walau bagaimanapun, perlu juga ada pemain yang mampu melalukam hal sama seperti beliau agar penguasaan bola di bahagian tengah sentiasa berpihak kepada Sabah. Namun, setakat ini pemain-pemain tempat seperti Azzizan Nordin dan Maxsius Musa dilihat agak berjaya juga memainkan peranan di bahagian tengah. Dennis Buschenning pula harus meningkatkan lagi tahap permainannya seiring tarafnya sebagai pemain import.

6. Sabah perlukan pemain ke-12
Penyokong adalah segala-galanya bagi sesebuah pasukan. Apa yang dapat dilihat adalah motivasi dan semangat pemain agak sedikit tenggelam bermain di tempat lawan tanpa sorakan semangat penyokong sendiri. Jadi, SAFA jangan ambil ringan perkara ini. Suara penyokong adalah suntikan semangat buat para pemain. Lihat sahaja Bonek Mania (Persebaya Surabaya) dan Aremania (Arema FC)  yang memberi sokongan sepenuhnya kepada pasukan tanpa ada sebarang larangan masuk ke stadium.

Rumusannya, skuad Sabah harus mengatasi segala kelemahan yang ada sebelum sepak mula Liga Super berlangsung. Masih ada masa bagi Kurniawan dan barisan kejurulatihan membuat kerja rumah dan menyemak segala aspek agar barisan sedia ada lebih mantap nanti.

Comments

Popular posts from this blog

KENALI PEMAIN KITA: ROZAIMIE ROHIM

KENALI PEMAIN KITA: RAWILSON BATUIL

KENALI PEMAIN KITA: MAXSIUS MUSA